Wednesday, September 22, 2010

Masjid Tanjung Sembeling & Rumah Ampang Batu




Masjid Tanjung Sembeling merupakan masjid lama yang didirikan oleh penduduk kampung Tanah Datar, Seri Menanti, kira-kira 150 tahun dahulu. Masjid ini dinamakan masjid Tanjung Sembeling kerana mengambil nama tempat ia didirikan semula setelah berpindah dari Tanah Datar ke kampung Tanjung Sembeling, Padang Biawas, akibat tragedi kebakaran. Akibat tragedi ini, maka wujudlah nama KAMPUNG MASJID TERBAKAR. Menurut cerita orang-orang tua kampung, masjid ini tidak dimamah api. Namun menurut firasat alim ulama ketika itu, tapak masjid ini tidak serasi, maka dipindahkan lah ia ke tapak sekarang. Senibina masjid ini amat unik sekali kerana mempunyai hanya satu sahaja tiang seri yang menampung kubahnya. Tiang dan lantai masjid ini diperbuat daripada kayu ponak (cengal batu). Ukiran pada tiang seri dan alang pendek menambahkan lagi keunikan masjid ini.Masjid ini tidak digunakan lagi semenjak tahun 1976 kerana masjid kariah Kampung Merual telah siap dibina. Masjid ini disumbangkan oleh ahli jawatankuasa kariah Masjid Merual, dengan mendapat persetujuan daripada Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah untuk dipindahkan ketapak baru iaitu di SERI SIANTAN dan dipulihara semula. Ia akan didirikan semula dan akan dijadikan tempat beribadat di dalam SERI SIANTAN dan kawasan sekitarnya.


Rumah lama Negeri Sembilan ini dibeli daripada Tuan Haji Sharif, Kampung Tengah pada bulan Mac lepas. Ia dinamakan Rumah Ampang Batu kerana kedudukan rumah ini yang berdekatan dengan empangan air, Kampung Tengah. Rumah ini diperbuat daripada kayu berkualiti tinggi iaitu ponak (cengal batu). Rumah ini mempunyai sejarahnya yang menarik. Rumah ini nanti akan menjadi kediaman rasmi keluarga SERI SIANTAN. Projek restorasi rumah Ampang Batu dan Masjid Tanjung Sembeling di SERI SIANTAN, dijangka bermula awal Disember 2010, dan akan mengambil masa 3-4 bulan. SERI SIANTAN akan ditutup kepada tetamu dan akan kembali menerima tetamu selepas projek restorasi dan pemuliharaan kedua-dua bangunan ini siap sepenuhnya penghujung bulan April, 2011. INSYALLAH.

No comments:

Post a Comment