Tuesday, March 19, 2013

Pemuliharaan Rumah Lama Dato’ Raja Diwangsa, Orang Empat Istana Seri Menanti


 
Rumah di lokasi asal, Kampung Merual, Seri Menanti, Negeri Sembilan
 
Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, telah mengorak langkah dengan mengambil inisiatif memindahkan rumah Dato’ Raja Diwangsa, Muhammad Yunus bin Jabar, Orang Empat Istana Seri Menanti, Negeri Sembilan ke Muzium Warisan Melayu, UPM. Ia bagi tujuan pemuliharaan semula rumah ini yang uzur akibat dimamah usia. Rumah ini telah diserahkan secara resminya kepada pihak muzium oleh Puan Darwinsyah bt Muhammad Yunus.

Rumah ini nanti akan dimanfaatkan oleh para ahli akademik dan pelajar UPM bagi tujuan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan. Ia juga dijangka akan menjadi tarikan pelancung ke muzium ini. Rumah ini amat menarik senibinanya, mempunyai nilai estetika yang tinggi serta catatan sejarahnya yang tidak ternilai.

Musnahnya Warisan Bangsa Melayu


Negeri Sembilan Darul Khusus merupakan negeri yang terkenal dengan Adat Perpatihnya. Negeri ini juga tidak kurang hebat tamadun dan warisan sejarahnya, sama seperti negeri-negeri Melayu di Pantai Timur. Kesempatan menelusuri jejak warisan silam Melayu di negeri ini membuka minda dan penglihatan, warisan Melayu silam yang tidak ternilai musnah di depan mata, tanpa sebarang pembelaan.

cebisan manuskrip Melayu yang musnah
 
Amat malang sekali tiadanya kesedaran dan kurangnya pengetahuan tentang nilai sejarah, di kalangan masyarakat setempat menyebabkan warisan ini musnah begitu sahaja. Ditambah dengan sikap manusia yang tamak, rakus dan dendam yang tiada penyudahan menyebabkan warisan ini lenyap begitu sahaja. Malang sekali warisan bangsa ku !